Kuliah Maghrib tadi, penceramah ada
menyelitkan secara ringkas tentang kezaliman Yazid bin Mu`awiyah yang
kononnya terlibat membunuh cucu Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam,
iaitu Husain radhiAllahu `anhu. Beliau membawa kisah tersebut sebagai
memberi pengajaran bahawa ketamakan kepada harta dan jawatan boleh
menyebabkan seseorang hilang pertimbangan hingga sanggup membunuh
manusia lain. Sedangkan cucu Nabi pun sanggup dibunuh, apatah orang
lain. Jadi, berhati-hatilah terhadap harta dan jawatan. Itulah nasihat
beliau.
Nastaghfirullah, kita memohon keampunan
kepada ALLAH atas keterlanjuran penceramah tersebut dan lain-lain
penceramah juga, kerana memang kisah tersebut telah tersebar luas sejak
zaman-berzaman dan termaktub di dalam lembaran sejarah. Tanpa kita
sedari, rupa-rupanya kisah tersebut tidak sahih. Kita semua telah
menjadi mangsa kepada sejarah yang dipalsukan.
Kisah betapa buruknya sikap Yazid bin Mu`awiyah tidak perlu disebar-sebarkan lagi oleh semua. Berhentilah dari menyebarkannya!
Para ulama hadith telah banyak membantah
kisah seperti ini. Menurut mereka kisah tersebut telah diselewengkan
sejarahnya oleh pihak-pihak tertentu. Justeru, lebih baiklah kita
berhenti dari bercerita kisah tersebut. Kerana kisah tersebut tidak
dapat disahkan kebenarannya, mengandungi unsur fitnah dan pembohongan
serta pasti akan melibatkan sama merendahkan martabat sahabat-sahabat
Nabi yang mulia seperti Mu`awiyah, Ibnu Abbas, Ibnu `Umar, Ibnu Zubair,
Husain bin `Ali dan lain-lain, radhiAllahu `anhum. Sebagai Ahlus Sunnah
wal Jama`ah, kita tidak boleh melibatkan diri dalam memburuk-burukkan
para sahabat Nabi kerana ALLAH Ta`ala telah meredhai mereka semua.
Walaupun Yazid bin Mu`awiyah bukanlah
seorang sahabat Nabi, namun mendustakan kisahnya termasuklah dosa yang
besar. Apatah lagi pendustaan kisah beliau akan mengaitkan sama
merendah-rendahkan peribadi para sahabat Nabi yang hidup sezaman dengan
Yazid, malah berbai`ah dengan beliau.
Sebagai manfaat buat diri saya, di sini
saya menukilkan beberapa penjelasan mengenai kisah Yazid bin Mu`awiyah
yang selalu digembar-gemburkan oleh masyarakat, khususnya di kalangan
penceramah:
1) Yazid bin Mu`awiyah dikatakan seorang yang zalim, jahat, tamak dan gila kuasa.
Ustadz Ahmad Sufyan bin Che Abdullah di dalam tulisannya bertajuk Siapa Yazid bin Mu`awiyah Yang Diburukkan Itu? menulis:
Yazid bin Muawiyah bin Abi Sufyan, ialah khallifah Islam yang ke-7 selepas Muawiyah r.a. daripada kalangan kaum Arab Quraysh. Itu jika dikirakan tempoh khalifah Hasan bin Ali r.a sebagai khalifah, walaupun sekejap. Yazid dilahirkan pada tahun 26 Hijrah semasa bapanya, menjadi gabenor Sham di bawah pemerintahan Sayyidina Uthman. Justeru, Yazid bukanlah sahabat Nabi s.a.w. Namun untuk memburukan beliau, lebih baik berhati-hatilah.Menurut Sheikh Muhammad Khudari Bik, pengarang buku “Itmam al-Wafa’ fi Sirah al-Khulafa’” yang terkenal itu, pelantikan Yazid sebagai khalifah telah dbuat pada zaman Muawiyah r.a setelah muawiyah mengambil pandangan daripada seluruh bandar taklukan Islam ketika itu. Ini terbukti menyanggah fitnah jahat musuh Islam bahawa Muawiyah adalah pengasas sistem monarki beraja. Pada waktu itu, ramai lagi sahabat Rasululah yang terkemuka yang masih hidup seperti Ibn Abbas, Ibn Umar, isteri nabi Aisyah dan ramai lagi.Menurut Muhammad al-Khudari lagi, pelantikan Yazid, setelah pandangan para sahabat diambil, lalu diberikan taat setia oleh sebilangan besar sahabat, kecuali beberapa orang sahaja, iaitu Abdullah Ibn Zubayr r.a. dan Husayn bin Ali r.a.Logiknya, para sahabat Rasulullah s.a.w tidak akan merestui sekiranya seorang khalifah itu jahat dan zalim atau jahil. Ini kerana syarat untuk menjadi khalifah bukanlah sebarangan kerana syaratnya adalah ketat. Bahkan seorang mujtahid dalam bidang agama.Muhammad bin Ali bin Abi Talib al-Hanafiyah r.a (anak Khalifah Ali r.a. yang paling alim), sepertinya dinyatakan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah, mengatakan bahawa Yazid adalah seorang yang sangat baik dan soleh bahkan sangat menjaga sembahyangnya, juga seorang yang berpegang teguh kepada sunnah.Ini membuktikan bahawa Yazid bukanlah seburuk yang digambarkan sejarah. Sekalipun kita juga tidak mengganggap Yazid sebagai seorang yang terbaik di kalangan mereka atau tidak pernah melakukan kesilapan.
Beliau menambah:
Ummu Haram menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, Tentera pertama yang berperang menggunakan jalan laut telah pasti akan mendapat Syurga Allah. Kata Ummu Haram, “Adakah aku termasuk di kalangan mereka?” Rasulullah menjawab, “Ya, kamu di kalangan mereka”, Nabi s.a.w berkata lagi, “dan pasukan tertera terawal di kalangan umatku yang menyerang negara Qaisar (Konstantinopel), maka telah diampunkan bagi mereka dosa-dosa mereka. Ummu Haram bertanya lagi, “aku termasuk di kalangan mereka?” Rasulullah s.a.w berkata, “Tidak” [Bukhari, Kitab Jihad, No 2707/ Muslim, Kitab Imarah, 3535].Dan sejarah membuktikan bahawa tentera pertama yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu adalah Yazid bin Muawiyah. Yazidlah yang mengetuai bala tentera menyerang konstentipel buat pertama kalinya. Yazidlah termasuk dalam golongan yang diampunkan dosa-dosanya. Adakah orang yang diisyaratkan Rasulullah ini boleh disifatkan sebagai kejam dan zalim??
Maulana Asri di dalam artikelnya bertajuk Syiah Pembunuh Sayyidina Husain di Karbala menulis mengenai Yazid bin Mu`awiyah:
Pendapat tokoh-tokoh dari kalangan sabahat dan tabi’in yang sezaman dengan Yazid berdasarkan riwayat-riwayat yang muktabar dan sangat kuat kedudukannya menjelaskan kepada kita bahawa Yazid adalah seorang anak muda yang bertaqwa, alim, budiman, saleh dan pemimpin ummah yang sah dan disepakati kepemimpinannya. Baladzuri umpamanya dalam “Ansabu Al Asyraf” mengatakan bahawa, ” Bila Yazid dilantik menjadi khalifah maka Abdullah bin Abbas, seorang tokoh dari Ahlul Bait berkata : ” Sesungguhnya anaknya Yazid adalah daripada keluarga yang saleh. Oleh itu tetaplah kamu berada di tempat-tempat duduk kamu dan berilah ketaatan dan bai’ah kamu kepadanya” (Ansabu Al Asyraf, jilid 4, m.s. 4).Sejarawan Baladzuri adalah di antara ahli sejarah yang setia kepada para Khulafa’ Abbasiah. Beliau telah mengemukakan kata-kata Ibnu Abbas ini di hadapan mereka dan menyebutkan pula sebelum nama Yazid ‘ Amirul Mukminin’.Abdullah Ibn Umar yang dianggap sebagai orang tua di kalangan sahabat pada masa itu pula bersikap tegas terhadap orang-orang yang menyokong pemberontakan yang dipimpin oleh Ibn Zubair terhadap kerajaan Yazid dan sikap yang begini disebut di dalam Sahih Bukhari bahawa, bila penduduk Madinah membatalkan bai’ah mereka terhadap Yazid bin Muawiyah maka Ibn Umar mengumpulkan anak pinak dan sanak saudaranya lalu berkata, ” Saya pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, ” Akan dipacakkan bendera untuk setiap orang yang curang (membatalkan bai’ahnya) pada hari kiamat. Sesungguhnya kita telah berbai’ah kepadanya dengan nama Allah dan RasulNya. Sesungguhnya saya tidak mengetahui kecurangan yang lebih besar daripada kita berbai’ah kepada seseorang dengan nama Allah dan RasulNya, kemudian kita bangkit pula memeranginya. Kalau saya tahu ada sesiapa daripada kamu membatalkan bai’ah kepadanya dan turut serta di dalam pemberontakan ini, maka terputuslah perhubungan di antaraku dengannya”. (Sahih Bukhari -Kitabu Al Fitan)
2) Yazid bin Mu`awiyah dikatakan membunuh cucu Nabi yang bernama Husain bin `Ali, radhiAllahu `anhuma.
Dalam artikel yang sama di atas, Ustadz Ahmad Sufyan bin Che Abdullah menjelaskan:
Yazid dikatakan sangat kejam sehingga dituduh membunuh sahabat dan juga cucu Rasulullah, Husayn. Kita sedia maklum bahawa Husayn juga ada melakukan pemberontakan terhadap khalifah Yazid, tetapi dalam menghormati sahabat Rasulullah, Yazid tidaklah sekejam itu seperti ditulis oleh majoriti penulis sejarah. Sarjana hadis Islam menolak sekeras-kerasnya fitnah tersebut.Ibn Kathir dalam buku sejarahnya yang masyhur, al-Bidayah wa al-Nihayah berkata, “.. Ibn Asakir telah melaporkan banyak cerita yang mencerca Yazid Bin Muawiyah tetapi semuanya ternyata palsu..”Ibn al-Solah, seorang ulama’ hadis yang masyhur, juga menjelaskan bahawa semua cerita tentang pembunuhan Husayn oleh Yazid adalah bohong. Bahkan para sarjana lain seperti Ibn al-Arabi, Imam al-Ghazali, Ibn Khaldun, turut menafikan cerita tersebut. Bahkan mereka menyifatkan Yazid tidak merestui pun, pembunuhan itu.
Dr Mohd Asri di dalam artikel beliau bertajuk Dosa Menyelewengkan Hakikat Sejarah & Fakta menulis:
Adapun peristiwa pembunuhan cucu Nabi s.a.w. Husain bin `Ali r.ahuma tidak ada bukti dia menyuruhnya atau terlibat dengannya. Bahkan ahli sejarah yang adil telah meriwayatkan bahawa beliau telah menangis atas kematian Husain dan melaknat pembunuhnya. Penduduk Syam yang hadir turut menangis bersamanya. Bahkan hubungan baik Yazid dan anak Saiyyidina Husain iaitu `Ali bin Husain berterusan selepas itu. Mereka sering mengutus surat menyurat antara mereka. Bahkan `Ali bin Husain menganggap yang membunuh ayahnya adalah Syi`ah di Kufah yang menjemput ayahnya datang dan menipunya. Cumanya Yazid dipertikaikan kerana tidak membunuh balas terhadap pembunuh Husain. Kata Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak sahih di sisi kami bahawa Yazid memerintahkan agar dibunuh Husain r.a. Riwayat mereka yang dipercayai menyetakan perintah membunuh al-Husain datang dari orang yang mengepalai pembunuhannya iaitu `Ubaid Allah bin Ziyad, gabenor Iraq ketika itu” (Ibn Tulun, Qaid al-Syarid min Akhbar Yazid m.s. 57, Kaherah: Dar al-Sahwah).
Di dalam artikel bertajuk Menjaga Ketulenan Sejarah Islam, Ustadz Mohd Yaakub bin Mohd Yunus menulis sebagai berikut:
Arahan sebenar Yazid kepada Ubaidullah bin Ziyad hanyalah untuk memantau atau memerhatikan sahaja pergerakan Saidina Husain dan penduduk Kufah. Yazid telah berkata: “Saya mendapat tahu bahawa Hussain telah menuju ke Iraq. Oleh itu berkawallah di kawasan-kawasan perbatasan negeri. Sesiapa yang diragui, tahanlah dia dan sesiapa yang tertuduh tangkaplah dia. Tetapi jangan engkau perangi kecuali orang yang memerangi mu dan tulislah selalu kepada ku tentang apa yang berlaku.” – Al-Bidayah Wa al-Nihayah, jilid 8, ms. 165.Tindakan Yazid bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami bagi mereka yang arif dalam bidang pemikiran politik. Mana-mana pemimpin pasti akan berwaspada sekiranya terdapat ura-ura bahawa pemberontakan bakal terjadi dan ianya bukan sahaja boleh menggugat tampuk pemerintahannya malah akan menggugat kestabilan politik umat Islam pada masa itu. Namun Ubaidullah bin Ziyad telah bertindak melampaui dari arahan sebenar Yazid lantas menyerang rombongan Saidina Hussain di Karbala lalu membunuhnya. Dakwaan bahawa Yazid gembira di atas kematian Saidina Hussein dan beliau meletakkan kepala Saidina Hussein yang dipenggal di atas tombak serta diarak keliling kota Baghdad juga merupakan kisah palsu rekaan golongan Syi’ah bertujuan untuk mencemar imej Yazid dan golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Yazid sebenarnya amat dukacita dengan tragedi pembunuhan Hussain. Yazid juga telah memuliakan ahli rombongan Hussain yang terselamat dalam peristiwa Karbala tersebut dan mengarahkan tenteranya untuk mengiringi mereka agar selamat kembali ke Madinah.
Dan Maulana Muhammad Asri di dalam artikelnya yang bertajuk Syiah Pembunuh Sayyidina Husain Di Karbala pula menulis mengenai pembunuh sebenar Husain bin Ali sebagaimana berikut:
Bukti pertamanya ialah pengakuan Syiah Kufah sendiri bahawa merekalah yang membunuh Sayyidina Husain. Golongan Syiah Kufah yang mengaku telah membunuh Sayyidina Husain itu kemudian muncul sebagai golongan “At Tawwaabun” yang kononnya menyesali tindakan mereka membunuh Sayyidina Husain. Sebagai cara bertaubat, mereka telah berbunuh-bunuhan sesama mereka seperti yang pernah dilakukan oleh orang-orang Yahudi sebagai pernyataan taubatnya kepada Allah kerana kesalahan mereka menyembah anak lembu sepeninggalan Nabi Musa ke Thur Sina.Air mata darah yang dicurahkan oleh golongan “At Tawaabun” itu masih kelihatan dengan jelas pada lembaran sejarah dan tetap tidak hilang walaupun cuba dihapuskan oleh mereka dengan beribu-ribu cara.Pengakuan Syiah pembunuh-pembunuh Sayyidina Husain ini diabadikan oleh ulama-ulama Syiah yang merupakan tunggak dalam agama mereka seperti Baaqir Majlisi, Nurullah Syustri dan lain-lain di dalam buku mereka masing-masing. Baaqir Majlisi menulis :“Sekumpulan orang-orang Kufah terkejut oleh satu suara ghaib. Maka berkatalah mereka, ” Demi Tuhan! Apa yang telah kita lakukan ini tak pernah dilakukan oleh orang lain. Kita telah membunuh “Ketua Pemuda Ahli Syurga” kerana Ibn Ziad anak haram itu. Di sini mereka mengadakan janji setia di antara sesama mereka untuk memberontak terhadap Ibn Ziad tetapi tidak berguna apa-apa”. (Jilaau Al’Uyun, m.s. 430)Qadhi Nurullah Syustri pula menulis di dalam bukunya Majalisu Al’Mu’minin bahawa selepas sekian lama (lebih kurang 4 atau 5 tahun) Sayyidina Husain terbunuh, ketua orang-orang Syiah mengumpulkan orang-orang Syiah dan berkata, ” Kita telah memanggil Sayyidina Husain dengan memberikan janji akan taat setia kepadanya, kemudian kita berlaku curang dengan membunuhnya. Kesalahan kita sebesar ini tidak akan diampunkan kecuali kita berbunuh-bunuhan sesama kita “. Dengan itu berkumpullah sekian ramai orang-orang Syiah di tepi Sungai Furat sambil mereka membaca ayat yang bermaksud, ” Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang telah menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu “. (Al Baqarah :54). Kemudian mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Inilah golongan yang dikenali dalam sejarah Islam dengan gelaran “At Tawaabun”.Sejarah tidak melupai dan tidak akan melupai peranan Syits bin Rab’ie di dalam pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala. Tahukah anda siapa itu Syits bin Rab’ie? Dia adalah seorang Syiah pekat, pernah menjadi duta kepada Sayyidina Ali di dalam peperangan Siffin, sentiasa bersama Sayyidina Husain. Dialah juga yang menjemput Sayyidina Husain ke Kufah untuk mencetuskan pemberontakan terhadap kerajaan pimpinan Yazid, tetapi apakah yang telah dilakukan olehnya?Sejarah memaparkan bahawa dialah yang mengepalai 4,000 orang bala tentera untuk menentang Sayyidina Husain dan dialah orang yang mula-mula turun dari kudanya untuk memenggal kepala Sayyidina Husain. (Jilaau Al’Uyun dan Khulashatu Al Mashaaib, m.s. 37)Adakah masih ada orang yang ragu-ragu tentang Syiahnya Syits bin Rab’ie dan tidakkah orang yang menceritakan perkara ini ialah Mulla Baaqir Majlisi, seorang tokoh Syiah terkenal ? Secara tidak langsung ia bermakna pengakuan daripada pihak Syiah sendiri tentang pembunuhan itu.Lihatlah pula kepada Qais bin Asy’ats ipar Sayyidina Husain yang tidak diragui tentang Syiahnya tetapi apa kata sejarah tentangnya? Bukankah sejarah mendedahkan kepada kita bahawa itulah orang yang merampas selimut Sayyidina Husain dari tubuhnya selepas selesai pertempuran ? (Khulashatu Al Mashaaib, m.s. 192)Selain daripada pengakuan mereka sendiri yang membuktikan merekalah sebenarnya pembunuh- pembunuh Sayyidina Husain, kenyataan saksi-saksi yang turut serta di dalam rombongan Sayyidina Husain sebagai saksi-saksi hidup di Karbala yang terus hidup selepas peristiwa ini juga membenarkan dakwaan ini termasuk kenyataan Sayyidina Husain sendiri yang sempat dirakamkan oleh sejarah sebelum beliau terbunuh. Sayyidina Husain berkata dengan menujukan kata-katanya kepada orang- orang Syiah Kufah yang siap sedia bertempur dengan beliau:” Wahai orang-orang Kufah! Semoga kamu dilaknat sebagaimana dilaknat maksud- maksud jahatmu. Wahai orang-orang yang curang, zalim dan pengkhianat! Kamu telah menjemput kami untuk membela kamu di waktu kesempitan tetapi bila kami datang untuk memimpin dan membela kamu dengan menaruh kepercayaan kepadamu maka sekarang kamu hunuskan pedang dendammu kepada kami dan kamu membantu musuh-mush di dalam menentang kami “. (Jilaau Al’ Uyun, ms 391).Beliau juga berkata kepada Syiah:“Binasalah kamu! Bagaimana boleh kamu menghunuskan perang dendammu dari sarung-sarungnya tanpa sebarang permusuhan dan perselisihan yang ada di antara kamu dengan kami? Kenapakah kamu siap sedia untuk membunuh Ahlul Bait tanpa sebarang sebab? ” (Ibid).Akhirnya beliau mendoakan keburukan untuk golongan Syiah yang sedang berhadapan untuk bertempur dengan beliau:“Ya Allah! Tahanlah keberkatan bumi dari mereka dan selerakkanlah mereka. Jadikanlah hati-hati pemerintah terus membenci mereka kerana mereka menjemput kami dengan maksud membela kami tetapi sekarang mereka menghunuskan pedang dendam terhadap kami “. (Ibid)Beliau juga dirakamkan telah mendoakan keburukan untuk mereka dengan kata-katanya: “Binasalah kamu! Tuhan akan membalas bagi pihakku di dunia dan di akhirat……..Kamu akan menghukum diri kamu sendiri dengan memukul pedang-pedang di atas tubuhmu dan mukamu akan menumpahkan darah kamu sendiri. Kamu tidak akan mendapat keberuntungan di dunia dan kamu tidak akan sampai kepada hajatmu. Apabila mati nanti sudah tersedia azab Tuhan untukmu di akhirat. Kamu akan menerima azab yang akan diterima oleh orang-orang kafir yang paling dahsyat kekufurannya”. (Mulla Baqir Majlisi-Jilaau Al’Uyun, m.s. 409).
Nah, itulah beberapa nukilan yang sempat
saya lakukan hasil merujuk kepada beberapa penulisan buat pencerahan
kepada diri saya dan tuan/puan yang sudi membacanya. Ternyata ada versi
yang berbeza di antara sejarah yang dihidangkan kepada masyarakat
dengan kajian-kajian ulama yang kita percayai akan amanah dan imannya.
Sewajarnya kita bertawaqquf (berhenti) daripada menyebarkan kisah
keburukan Yazid bin Mu`awiyah kerana di sana ada percanggahan fakta dan
terdapat unsur fitnah kepada beliau yang merupakan Amirul Mukminin yang
telah dibai`ah oleh sekalian kaum muslimin dan sahabat-sahabat Nabi,
radhiAllahu `anhum.
Semoga ALLAH Ta`ala mengampunkan
kekhilafan yang wujud antara Yazid bin Mu`awiyah, `Abdullah bin Zubair,
Husain bin Ali dan lain-lain tokoh Islam sepanjang zaman jika benar
mereka ada kesilapan kerana tiada manusia yang tidak silap. Dan semoga
ALLAH Ta`ala mengampunkan saya dan kita semua yang pastinya sangat
banyak kesilapan dan dosa-dosa, amin…
ALLAHU A`LAM.
0 komentar:
Post a Comment